Monday, November 5, 2012

Mengintai Jendela dari Lubang di Tempurung

Bagai terasa usikan angin di kulit pipi. Membangkitkan soalan kepada angin. Dari mana datangnya kamu? Bukankah di sini tiada kelibat maupun apa-apa. Bukankah kamu tiada upaya untuk menerobos masuk ke ruang ini apatah lagi menyentuh kulit dan menyapa aku.

Terlupa pula aku masih pejam mata. Usikan angin menyentuh pipi tadi benar-benar menyedarkanku daripada asyik memejamkan mata. Pejam mata untuk lebih jelas. Lebih jelas dengan gambaran dunia yang indah. Gambaran daripada impian. Impian daripada apa yang aku sendiri tahu dan pengalaman. Aku menggambarkan dunia yang indah dalam pejam mata.

Aku tahu aku sudah menarik kelopak mata ini. Namun kenapa tiada sekujurpun cahaya yang melintas masuk? Mengapa mata aku masih lagi tiada upaya menerima sejalurpun cahaya dari sekeliling. Gelap. Gelap dan gelita. Aku terus membeliakkan mata dan mengharap adalah cahaya yang sudi menyapa. Tiada.

Aku dalam gelap rupanya. Pusing kiri dan kanan tiada apa. Gambaran dunia indah tadi musnah hanya dalam sekelip mata. Dan aku masih tiada apa. Hanya gelap gelita.

Aku jangkaukan tangan. Ke depan. ke atas. Ke kiri dan kanan. Tangan ku tiada menerima apa-apa sentuhan.  Di sekelilingku tiada apa-apa.

Aku langkahkan kaki ke depan. Langkah kecil dan sedikit. Langkah pula ke kiri. Juga langkah kecil dan sedikit. Berdekatan denganku tiada apa-apa.

Apa yang aku ada? Ke mana harus aku pergi? Ke kanan ke kiri? ke depan ke belakang? mataku tiada apa untuk dilihat. Telingaku jua sama. Yang hanya terasa hanyalah tempah aku berdiri. Ya aku masih berdiri.

Cahaya dalam pejam amat indah namun hanyalah fatamorgana.
Cahaya dalam sedar tiadapun sejalur. Walaupun telah aku beliakkan mata.

Ya Allah....!

Terpacul dari dalam lubuk hati.

Sedarlah hati ini dan kemudian membentak-bentak diri yang aku ini sedang mencari cahaya yang hanyalah dariNya.

Aku punya segala apa keinginan aku hanyalah apabila aku memejamkan mata. Segala yang aku mahu dapat aku gambarkan.

Nah, sekarang aku sedar, aku tiada punya apa yang nyata. Kosong dan gelap. Terpaku dan tiada arah. Meraba-raba tanpa tahu apa-apa. Lemahnya, kerdilnya, hinanya, bodohnya aku...

Ya Allah, Kurniakanlah Nur HidayahMu...

Aku rebah melutut. Merasakan setiap sendi yang ada ini adalah milikNya semata-mata. Diri ku ini adalah dicipta oleh Yang Maha Pencipta.

Aku perlu udara untuk bernafas. Udara itu dari Allah
Aku perlu cahaya untuk melihat. Cahaya itu dari Allah
Aku perlu bumi untuk berpijak. Bumi itu dari Allah
Aku perlu masa dan ruang untuk teruskan hidup. Keduanya dari Allah
Aku perlu air untuk minum. Air itu dari Allah
Aku perlu graviti untuk berjalan dan bergerak. Itu juga dari Allah
Aku perlu perlindungan dari sinaran berbahaya. Allah telah sediakan.
Aku perlu makanan. Telahpun Allah tentukan.
Aku perlu kesihatan. Aku perlu itu.. aku perlu ini. aku amat-amat bergantung dengan segala yang aku perlukan.

Dan MasyaAllah, semuanya Allah sediakan dan tentukan.

Sesungguhnya aku sangat fakir. Fakir dengan Rahmat dan Rahman Mu Ya Rabbal Alamin.


Mutiara-mutiara mengisi mata dan mula menuruni pipi.

Kedua tangan menadah langit. Esakan nafas kian jelas.

Hati yang merintih, mengadu, memohon ampun, memuji dan merindui

Allah yang Maha Penyayang..



Subhanallah Alhamdulillah La ila haillallah Allahuakbar


Safron

No comments:

Post a Comment