Monday, August 11, 2014

Anggap Aku

Anggap Aku

safronLubis

Anggaplah aku seorang kawan
Memberi nasihat kepada kawan
Usahla hatimu ada dendam
Kerna hanyalah membuahkan seksa

Anggaplah aku seorang teman
Berkata hikmah kepada teman
Kikislah hatimu dari benci
Kelak akan tercela diri

Anggaplah aku seorang tua
Berpesan kata kepada yang muda
Bersihkan hatimu dari marah
Pasti kelak akan berdarah

Anggaplah aku teman
Anggaplah aku kawan
Anggaplah aku seorang tua
Yang hanya berpesan dengan kasih sayang
Yang hanya ingin melihat engkau tiada secalit nista
dalam hati, dalam kata dan dalam gerak

Yang aku tidak mau
Kau tenggelam buta
tiada dapat membeda
yang haq dari yang batil
aku tidak mahu melihat
engkau katakan yang batil
kerna pada niatmu adalah haq


-- Niat tidak pernah menghalalkan cara  --

safronLubis

Thursday, August 7, 2014

Aku Mahu Berlari

Aku Mahu Berlari | safronLubis



Bukan seperti mimpi yang menghijab realiti
Bukan seperti dongeng yang mencarik logika
Aku punya cita menggunung hingga ke langit
Aku punya tekad terbakar sesilau suria

Aku bawa berlari hingga ke hujung pasir
Aku bawa berlari hingga ke puncak batu

Selimut bonda disalut penuh tubuh
Keris ayahanda tersisip di pinggang
Bunga dinda dalam lipatan baju
Bekal aku hingga ke sana

Aku mahu berlari hingga ke hujung kali
Aku mahu berlari hingga ke puncak daun
Aku bawa berlari hingga ke hujung pasir
Aku bawa berlari hingga ke puncak batu

Tatkala tertolak ganas angin ribut
Tertampar pedih ombak laut
Tersadung dek gegar bumi
Terduduk rebah ditendang bala
Awan yang indah menjadi hitam
Hujan berat merintih berhari hari

Gelap pekat meraba raba
mata tak tercapai rupa tangan dan kaki 
di mana pantai di mana awan
mohon aku sedikit cahaya ya Tuhan

Aku mahu berlari hingga ke hujung
Aku mahu berlari hingga ke akhir
Aku mahu berlari hingga ke hati
Aku mahu berlari hingga ke mati

Dalam payah pun aku berdiri
Kerna dek buta mata tidak pandai melihat
sinar kasih Mu yang sentiasa di sekeliling
Kekalkan aku Ya Rab dengan tali Mu
Rendahkan aku  Ya A'la dengan rahmat Mu

Dalam perih pun aku mahu berlari
Walau awan hitam pun aku mahu berlari
Takkan sedetik lagi aku berhenti\
Walau luka seluruh badan
Walau hiba seluruh nafas
Walau air mata ini mengalir deras
Kaki aku takkan berhenti berlari


Aku mahu berlari
Sehingga Nyawa ini
Mati


-- sesungguhnya orang Islam itu tidak akan putus harapannya pada Rahmat Allah --